Surat untuk Matchek Pada Masa Hadapan - "Catatan Tahun 2020"
Assalammualaikum,
Ke Hadapan Saudara Seirasku - Khairol Nizam,
Ini adalah catatan tahun 2020 untuk rujukan pihak tuan.
**********
Tahun 2020 adalah tahun yang pelik.
Bermula daripada imaginasi Wawasan 2020 yang dicanang-canang oleh PM Dr.M semasa kita masih darjah 6, imaginasi kereta terbang, serta dunia yang serba canggih dan futuristik. Tahun 2020 adalah tahun yang dinanti-nantikan. Tapi tu lah, dah nama pun imaginasi, yang paling canggih pun pada tahun 2020 adalah smart phone dan perang iPhone and Android phone yang tak berkesudahan. Itu je.
Tapi tahun 2020 memang adalah tahun yang pelik.
Pembangkang yang menang adil saksama melalui pilihanraya, tiba-tiba boleh kalah dengan kerajaan pintu belakang dan disingkir keluar daripada mentadbir negara. Tapi wahai future matchek, ignore that. Politik bukan untuk kamu, ingat tu betul-betul ok?
Pada tahun ni, tiada siapa pun boleh duga yang tahun 2020 kita tak boleh balik kampung untuk beraya. Larangan rentas negeri untuk lebih spesifik. Aneh bunyi nya kan?
"Seluruh rakyat Malaysia tidak dibenarkan merentas negeri untuk tujuan balik ke kampung berhari raya"
Lebih kurang macam tu pengumuman yang keluar daripada mulut PM TSMY. "Saya minta maaf.."
sambung beliau lagi.
Speechless untuk beberapa detik bila dengar pengumuman tu.
Tapi, bila difikir balik, ada patutnya larangan tu diwujudkan. Wahai future Nizam, tahu tak sebab apa larangan tu dikeluarkan?
Sebab macam dicakap dari awal, tahun 2020 adalah tahun yang pelik. Sebenarnya pada hujung tahun 2019, wujud sejenis virus yang dikatakan berasal daripada kelawar, sampai harini (12 Jun 2020) masih tak jumpa Patient Zero, apatah lagi the vaccine, tapi yang pasti virus ni cetuskan pandemic yang mana kalau siapa-siapa infected, dia akan serang sistem pernafasan dan boleh sebabkan kematian dalam masa yang singkat. Sila Google "Covid-19" untuk dapatkan fakta tepat, letih lah semua nak kena explain kan?
Keadaan yang kritikal tu sebabkan WHO dan kerajaan Malaysia datang dengan idea perintah berkurung untuk mengurangkan jangkitan, atau kata saintifik, putuskan rantaian jangkitan.
Tak jumpa orang, tak bersesak, tak bersentuhan, maka virus tak dapat merebak. Idea ringkas tapi berkesan.
Kedai semua tutup, office semua tutup. Masjid tutup (limited, AJK je boleh perform jemaah), KL sepi tanpa kereta, pusat maksiat lagi lah sepi. Maka berkurung lah seluruh rakyat/warga manusia dalam rumah sambil menanti hari yang 'cerah' itu tiba.
Dinamakan perintah berkurung tu sebagai PKP, PKPD, PKPB dan PKPP, atau nama panjangnya
Perintah Kawalan Pergerakan, *Diperketat *Bersyarat *Pemulihan.
Tapi asasnya tetap sama; duduk diam, jangan keluar rumah.
Topeng muka pakai buang yang harganya RM5 sekotak dan tak pernah laku kat Daiso melambung sampai RM2 sekeping. Hand Sanitizer pun sama, habis stok atau terpaksa dibeli pada harga mahal.
Sebelum ni takde siapa peduli nak basuh tangan, hatta baru lepas makan ayam goreng McD sekali pun - leceh katanya. Tapi sejak Covid-19 ni, Alhamdulillah, hand sanitizer sampai takde stok sebab semua dah faham erti pentingnya basuh tangan untuk kebersihan diri dan kepentingan bersama.
Aku tengok pandemik Covid-19 ni banyak memberi input bermanfaat untuk umat manusia. Kita lagi faham erti hidup bersusah bersenang sama-sama, me-review balik hidup yang berputar-putar hanya pada kesibukan kerja dan mencari rezeki sampai tiada masa untuk bersama keluarga dan semai rasa rindu dan sayang tebal-tebal bila lama tak dapat balik ke kampung.
Berkurung jadikan kita faham bahawa hidup itu sebenarnya ringkas, tapi kita yang membelitkan-nya sampai berselirat tersimpul-simpul.
Ibarat virus itu sendiri, kita akan *kuat* bila kita sama-sama bergerak dalam satu pasukan. Berkurung, bersusah, dan bersenang sama2 dalam ruangan yang terhad.
Dalam satu unit keluarga - Serba ringkas tapi berisi, dan bererti.
Dan ibarat satu butang reset, kita berjaya reset kan jiwa dan tujuan hidup kita dalam waktu yang sukar tu untuk menilai yang mana lebih penting:
*masa yang disibukkan dengan mencari habuan dunia ATAU masa yang disibukkan berterusan 24 jam dengan orang yang kita sayang.*
Bayangkan sepanjang Ramadhan kau jadi Imam Tarawikh kot matchek. Mesti tak pernah terfikir sebelum tu kan?
Dan saat yang paling seronok bermula pada hujung hujung PKP. Saat paling dinanti-nantikan, di mana PM TSMY kita umumkan larangan rentas negeri di tarik balik, "Saya faham kita semua dah rindu nak balik kampung.."
Maka hampir seluruh populasi warga bandar berpusu-pusu pulang ke kampung melawat ibu ayah atas dasar rindu, dan mencari kembali semangat Aidilfitri yang hilang..
Ye, kita ber-hari raya Aidilfitri - sekali lagi. Dua kali dalam tahun 2020.
Kita sambut kemenangan tu dengan sepuas-puasnya.
******
Tetapi, ada part paling sedih daripada seluruh cerita ni..dan benda ni penting untuk kau fahamkan Nizam. Ni lah pun antara sebab utama surat ni aku karang - khas untuk peringatan kamu di masa hadapan nanti,
Walaupun kerajaan dan Health General hari-hari mencanang tentang *Norma Baru* untuk menjalani kehidupan seperti penjarakan sosial 1 meter, kerap basuh tangan dan kurang aktiviti luar...
..tapi..kita dan kebanyakan kita kembali ke *norma asal*.. kita perlahan-lahan kembali lalai dalam definisi pengabdian diri pada Allah. Kita terlupa - tanpa izin Allah - semua benda-benda baik takkan berlaku. Aturan Allah tu cantik, bagi kita sedikit kedukaan sebab nak bagi kita sebanyak-banyak ganjaran.
Tapi, kita terlupa. kita terlupa kesusahan hampir 3 bulan yang kita hadapi dalam tempoh berkurung tu. Kita anggap semuanya dah kembali ke normal, jadi kita perlu enjoy.
Pasangan bercinta kembali ber-dating, social media kembali menjadi medan berkongsi kisah gah. Kita makin liat tunaikan solat berjemaah, dan hari-hari kita lalui tanpa ibadat-ibadat extra yang kita gagah-kan waktu tempoh sukar dulu.
Rasa bersyukur kita hilang - kita kembali ke norma asal..
*
*
*
Allah berfirman dalam Surah Yunus (10:12)
"Dan apabila seseorang manusia ditimpa kesusahan, merayulah ia ditimpa Kami (dalam segala keadaan), sama ada ia sedang berbaring atau duduk ataupun berdiri; dan manakala Kami hapuskan kesusahan itu daripadanya, ia terus membawa cara lamanya seolah-olah dia tidak pernah merayu kepada Kami memohon hapuskan sebarang kesusahan yang menimpanya (sebagaimana ia memandang eloknya bawaan itu) demikianlah diperelokkan pada pandangan orang-orang yang melampau apa yang mereka lakukan.
Macam itu lah sifat manusia Nizam. Kita akan kalah kalau kita lemah.
Aku harap catatan ringkas ni dapatlah serba sedikit bagi pengajaran untuk kamu. Kita manusia dan kita memang lemah, jadi kembalilah pada Al-Quran dan bersegeralah memohon keampunan dan pohon petunjuk daripada Allah.
Aku yakin kau boleh Nizam, Terus Kuat, Terus Istiqamah ok?
Selamat Maju Jaya!
Yang Masih Di Tahun 2020,
matchek.
1201am,
Jumaat, 13 Jun 2020.
Comments
Post a Comment