Surat Untuk Masa Depan - "Merayakan Kehilangan"
Assalammualaikum,
Ke hadapan saudara masa hadapanku, matchek. Surat ni aku tulis sebagai satu sumber rujukan untuk kau belek bila kau perlukan (nanti). Ala, macam tak biasa, macam surat yang sudah-sudah, hehe.
Tahun dua puluh dua puluh satu adalah tahun yang paling besar bagi aku, aku perlu akui itu dan aku perlu selalu remind kau wahai saudara masa hadapanku, pasal itu.
Untuk kali ke dua berturut-turut, kita semua tak boleh balik beraya lagi. Tahun lepas, tahun yang pertama kita rasa janggal, tapi tahun 2021 ni kita rasa biasa-biasa pula. In a sense kebiasaan dengan situasi terpaksa. Memang janggal bunyinya.
Benda sekatan-tersekat-kena sekat ni tak pernah mudah bagi ramai orang. Raya kat bandar, kalau ikut logik akal, tak kan pernah best. Tapi sekatan dan larangan ini-lah yang ajar kita untuk ber-adaptasi.
Adaptasi pula hakikatnya benda yang susah (baca: tak straightforward). Kalau sebelum-sebelum ni, membaca buku sejarah atau kisah-kisah lampau buat kita terfikir, ‘susahnya orang-orang dulu hadapi hidup’, tapi bila kita jadi sebahagian sejarah yang membentuk sejarah baru, baru kita sedar - adaptasi memang tak mudah. Sebab ia perlu disertakan dengan redha dan sabar yang tinggi. Siapa suka kena kurung, kan?
Kesabaran yang tinggi pula takkan dapat digapai kalau kita sekadar cuba elak hadapi kenyataan. Bersifat tak endah kononnya atau dengan menjadi ignorance boleh kurangkan keperitan. Tak, ia mustahil dan tak semudah itu.
.
.
Dipendekkan cerita, hmm..
Tahun ini aku kehilangan seseorang. Ye, kehilangan yang takkan dapat ditemukan kembali. Rasa ini tak pernah mudah.
Dugaan Covid-19 ini buatkan aku kehilangan seorang figura paling penyabar yang aku pernah kenal. Satu susuk lembut yang masih mampu usik hati dengan sentuhan lawak yang ringkas walau dalam kesakitan. Abah telah pergi untuk selamanya…
Abah nombor satu dalam dunia, walau aku kembara sejauh mana pun, itu lah satu-satunya abah yang aku ada, takkan boleh jumpa yang lain. Satu kenangan terindah yang akan aku simpan kemas segala memori-nya sampai ke sana. bi Iznillah.
Sampai saat ni, hampir 3 bulan sejak abah pergi, aku kadang-kadang masih terasa kosong. Ibarat sebuah rumah yang minimalist. berpenghuni tapi hanya dipenuhi dengan ruang kosong.
Ye, sepi, kosong dan hanya sebuah jarak untuk dimiliki.
Hakikat kehilangan adalah sesuatu yang perit. Untuk ditelan, untuk dihadam atau untuk dilepaskan jauh-jauh. Kehilangan buat kita sedar, sebuah erti bagi perkara paling bererti: iaitu rasa dimiliki.
Kita jarang menghargai rasa me-miliki, sebab bila satu benda itu dah jadi hak kita, nak cerita apa lagi kan? Kita ego, kita tak sedar. Kita pandang ia asal boleh sahaja.
Tapi kita ter-lupa; apa akan jadi bila nikmat me-miliki tu diambil?
Kita akan hilang dua perkara sekaligus. Rasa me-miliki dan rasa di-miliki.
Puff, seperti itu ia hilang.
Sekelip mata.
Tu yang buat kita rasa kosong dan sepi dan keperitan tu. Seolah-olah macam tiada apa yang bernilai lagi tinggal untuk kita.
.
.
Haa, bunyi memang sakit kan? Maka sebab ni lah aku kena buat surat ni untuk kau wahai matchek di masa hadapan. Sebab aku tahu benda ni memang berat, dan kau kena tahu, berat itu ber-sebab. Anggaplah ini macam satu peringatan ikhlas dari aku hari ini buat kau. atau sesiapa saja yang sedang dan bakal kehilangan (in case someone else read this letter la, hehh).
.
Hilang tidak semestinya tentang kematian.
‘Anak kucing saya hilang’, juga adalah kehilangan.
Hilang mungkin juga keciciran barang.
Hilang mungkin juga berjalan tanpa arah tujuan.
Hilang mungkin juga ditinggalkan berseorangan atau seseorang.
Hilang juga mungkin bermaksud meninggalkan se-seorang. dan kisah masa silam.
Ibarat bongkah glasier dicairkan bersih oleh sang pancaran matahari. hilang menjadi butir-butir halus air. Hilang gagah akibat dicairkan kepanasan.
Sebagai satu peringatan untuk kau, tidak semestinya bila satu benda tu hilang, kita perlu cari ia kembali. Mungkin kehilangan itu pilihan dan/atau ketentuan ter-baik untuk kita.
Apa kita perlukan adalah: berhenti sejenak, menilai, memahami dan cuba teruskan perjalanan. Ibarat sebuah sungai yang mengalir (sambungan dari kisah glasier tadi, fuhh), ia akan terus mengalir ke suatu destinasi tanpa pernah berhenti untuk menyerah. Sebab apa? sebab ia tahu itu takdir-nya.
Kehilangan adalah untuk diraikan. Dirayakan mungkin. Kerana kita diberikan sebuah ujian untuk belajar, dan perelokkan masa hadapan kita. Satu peluang baru, kesempatan baru untuk teruskan langkah dengan cara yang lain.
Kau, matchek, dah belajar banyak sejak kecil, dah 35 tahun dah pun. Aku tahu kekecewaan kadang-kadang merenggut emosi engkau. Tapi, kita memang sedar dan faham hakikat ujian dan pengajaran kan?
Jangan terburu-buru untuk melupakan kehilangan. Ambillah masa semahunya, perlahan-lahan untuk menerima. Perlahan-lahan lalui arus perubahan.
Ber-adaptasi, bersyukur dan belajar-lah sebanyaknya sehingga hati dipenuhi rasa yakin untuk ke sana. Dan kekal tenang di sini.
Sebab pada akhirnya, kita juga akan hilang.
untuk selamanya..
Semoga bermanfaat saudara seirasku, ikhlaskan diri, Salaam.
matchek masa kini,
930am, Ahad, 22 Ogos 2021.
Inna lillahi wa inna ilayhi raji'un.
ReplyDeleteKehilangan begini berbeda kerana ianya berserta rindu tanpa noktah..
Thanks for sharing the letter..